SABTU, 29 JULAI 2023

KUCHING: Sarawak bakal mempunyai tujuh lagi francaisor baharu sebagai tambahan kepada 11 francaisor sedia ada.

Menurut Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dr. Ripin Lamat, tujuh usahawan ini yang berada di bawah Program Transformasi Perniagaan (BIT) Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) sedang menuju ke peringkat menjadi francaisor.

“Terdapat tujuh usahawan di bawah skim BIT pra-francaisor iaitu dFRentz, Cendol Mami, Anas Popcorn, Abg K’ Ju, Dofa, Don’s Burger dan Suzee.

“Ini adalah usahawan tempatan yang sekarang menuju ke arah francaisor dan mereka sekarang dalam proses pemohonan melalui program BIT tersebut,” katanya dalam sidang media Program BizFrancais Sarawak 2023 di Kuching pada Sabtu.

Tambahnya lagi, tujuh usahawan ini bakal menyertai 11 francaisor yang telah lama ada di Sarawak iaitu SugarBun, Chickilicious, Taka Patisseries, Coffee O’ Corner, Singapore Chicken Rice, Go-Fun-Kee, Place2Stay Hotel, Allunique, Chicago-7, Sharing Planet dan Potato Story.

Dalam pada itu, Dr. Ripin Lamat memberitahu sebanyak RM19 juta telah dibiayai oleh Pernas untuk 65 syarikat usahawan dari negeri Sarawak sahaja sejak 2010 dan perbadanan itu mensasarkan pembiayaan sebanyak RM5 juta untuk tahun ini melalui Program BizFrancais ini.

Beliau juga berharap usahawan-usahawan tempatan tidak kira di bandar atau luar bandar menyertai program ini kerana ia dapat menghasilkan peluang pekerjaan kepada orang ramai.

Dalam program itu, Dr Ripin sempat melawat gerai-gerai francais yang telah disediakan untuk melihat produk-produk yang dikeluarkan dan dipasarkan.

Pada majlis sama, Pernas dengan kerjasama Tabung Baitulmal Sarawak turut menyampaikan sumbangan barang keperluan kepada 10 golongan asnaf sempena program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pernas Prihatin yang disampaikan oleh Dr. Ripin.

Turut hadir Pengerusi Pernas Dato’ Hazimah Zainuddin, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pernas Dato’ Abu Bakar As-Sidek, Penolong Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Salbiah Saji serta Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan Dan Komuniti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Nikk Adam Abdillah Kipali. – EDISI UKAS

add comment