RABU, 23 OGOS 2023

KUCHING: Sebanyak 80 buah koperasi di seluruh Sarawak yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menyertai Taklimat GP23: Garis Panduan Pelaporan Penyata Kewangan Koperasi (Pindaan) 2020 anjuran SKM Negeri Sarawak.

Taklimat dianjurkan di salah sebuah hotel di Kuching pada Rabu itu bertujuan menyampaikan informasi dan maklumat mengenai GP23 secara lebih jelas dan terancang. 

Menurut penganjur, pindaan ke atas GP23 dibuat selaras dengan perkembangan dan perubahan dalam piawaian perakaunan yang digunakan di Malaysia. 

Justeru itu, ianya sekaligus dapat memudahkan perbandingan atau pengukuran prestasi gerakan koperasi dengan sektor lain terutamanya sektor perusahaan kecil dan sederhana. 

Dalam taklimat tersebut, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP), Senator Saraswathy Kandasami berkesempatan menyampaikan dua cek kepada Koperasi Permodalan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) Berhad dan Koperasi Kojaksa Sarawak Berhad yang masing-masing berjumlah RM103,176.70 dan RM2 juta. 

Hadir sama Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Naib Pengerusi Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) SKM Siti Azlin Ahmad Dauta dan Pengarah SKM Cawangan Sarawak Liew Liuk Chim. -EDISI UKAS

add comment