Guru Barisan Hadapan Lahirkan Generasi Muda Berilmu & Berwawasan

UKAS  > Edisi-Selatan >  Guru Barisan Hadapan Lahirkan Generasi Muda Berilmu & Berwawasan
0 Comments

SABTU, 16 SEPTEMBER 2023

SIBU: Guru merupakan ‘frontliners’ atau barisan hadapan yang terpenting dalam melahirkan generasi muda yang berilmu dan berwawasan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana, semua warga pendidik di Selangau perlu membina tekad, bahawa setiap usaha dan kerjasama yang disemai akan menjadi satu tunjang kepada kemenjadian murid.

Justeru, beliau menyeru kepada semua guru agar mewujudkan suasana pembelajaran dan pengajaran yang berorientasikan pendidikan abad ke-21.

“Keperluan pasaran kerja masa hadapan amat memerlukan mereka yang mampu berfikir secara Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

“Tuntutan ini tentunya memerlukan komitmen guru agar lebih kreatif dan inovatif agar ilmu yang disampaikan dapat direalisasikan dengan jayanya,” katanya berucap dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang & Apresiasi Tahun 2022 di hotel terkemuka di sini pada Jumaat.

Tambahnya, beliau juga menyeru kepada semua guru agar sentiasa memberikan sokongan yang padu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Selangau dan kepimpinan sekolah masing-masing.

Dalam pada itu, majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Apresiasi ini telah disempurnakan oleh Anyi sendiri.

Katanya, majlis ini bertujuan memberikan pengiktirafan kepada semua warga pendidikan di Selangau.

“Ini bagi memberi pengiktirafan atas peranan dan pengorbanan mendidik anak bangsa dan kelestarian bertugas tanpa mengira masa dan tenaga serta batasan fizikal dan geografi,” jelasnya.

Di akhir majlis, Anyi telah meluluskan geran MRP berjumlah RM10,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah Selangau.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Selangau Encik Ringgit @ Gawan Saut, Timbalan PPD Kanowit Joanes Tulang,  Pengetua SMK Ulu Balingian Echi Tom dan Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Selangau Bejamin Ragai. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *