300 Pekebun Kecil Sri Aman Sertai Program NI-SCOPS

UKAS  > Edisi-Selatan >  300 Pekebun Kecil Sri Aman Sertai Program NI-SCOPS
0 Comments

AHAD, 17 SEPTEMBER 2023

SRI AMAN: Seramai 300 pekebun kecil telah menjayakan program latihan pekebun kecil kelapa sawit anjuran Solidaridad Sarawak. 

Antara topik yang disampaikan dalam Program Inisiatif Pekebun Kecil Pintar Pemuliharaan Alam Sekitar (NI-SCOPS) ini termasuk pengurusan ladang, penggunaan baja, racun perosak dan demonstrasi pemakaian pakaian perlindungan diri (PPE) yang betul dan selamat.

Selain itu, turut diadakan sesi soal jawab pada penghujung program.

Dalam pada itu, majlis penangguhan program berkenaan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang di Dewan Datuk Mong, Gua Dau di sini pada Sabtu. 

Katanya, beliau berharap agar perkongsian ilmu ini dapat meningkatkan lagi sumber pendapatan pekebun-pekebun kecil.

“Generasi baru kurang berminat dalam sektor pertanian kerana kerja ini dikatakan agak berat, namun sektor pertanian dan penternakan adalah satu perniagaan yang dilihat mampu meningkatkan taraf hidup rakyat di luar bandar,” tegasnya. 

Datuk Mong turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada penganjur yang telah mengadakan perkongsian mengenai cara-cara penanaman dan pemuliharaan kelapa sawit.

Turut hadir Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Jimbau Galau, serta penceramah dari Solidaridad Network Malaysia Berhad, Alex Alau dan Hendry Belaka. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *