69 Pelajar Terima Anugerah Pelajar Melayu/Islam Cemerlang 2023 PKMS

UKAS  > Edisi-Selatan >  69 Pelajar Terima Anugerah Pelajar Melayu/Islam Cemerlang 2023 PKMS
0 Comments

AHAD, 17 SEPTEMBER 2023

KUCHING: Seramai 69 orang pelajar dari pelbagai sekolah sekitar Sarawak menerima Anugerah Pelajar Melayu/Islam Cemerlang 2023 daripada Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS). 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki berkata, penganugerahan ini mampu menjadi perangsang kepada anak muda untuk terus maju dan tekun dalam bidang pendidikan.

“Saya sendiri juga merupakan penerima anugerah PKMS yang mendorong diri saya untuk terus maju ke hadapan sehingga kini.

“Pengalaman ini saya kongsikan kepada pelajar semua untuk lebih semangat meraih kejayaan. Jadi, teruskan berusaha dan gunakan peluang yang diberikan ini dengan sebaik mungkin sebagai platform mencapai kejayaan,” katanya.

Beliau berucap demikian semasa Majlis Anugerah Pelajar Melayu/Islam Cemerlang 2023 di Hotel Harbour View, Kuching di sini pada Ahad. 

Jelasnya lagi, kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman  Zohari Tun Datuk Abang Openg sentiasa prihatin dengan perkembangan pendidikan pelajar di negeri ini.

“Sejurus beliau dilantik sebagai Ketua Menteri pada tahun 2017, beliau telah mewujudkan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat bagi memperkasakan apa sahaja soal pendidikan di negeri ini,” ujarnya. 

Justeru beliau berharap agar generasi mendatang mampu menjadi pemimpin Sarawak yang inovatif, inventif dan kreatif.

Dalam majlis sama, seramai 10 orang pelajar terdiri daripada anak-anak ahli PKMS turut diberikan hadiah galakan bagi mendorong mereka melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Pertama di Institusi Pengajian Tinggi tempatan dan luar negara.

Turut hadir Yang Dipertua PKMS Dr. Wan Ali Tuanku Madhi dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak Datuk Khirudin Drahman.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *