Selangau Miliki Keindahan Semulajadi Belum Terusik

UKAS  > Edisi-Tengah >  Selangau Miliki Keindahan Semulajadi Belum Terusik
0 Comments

AHAD, 17 SEPTEMBER 2023

SELANGAU: Selangau, Sarawak, adalah sebuah pekan kecil yang terletak di tepi Lebuhraya Pan Borneo dan di tepi Batang Mukah iaitu sebuah sungai yang mengalir ke Laut China Selatan.

Selangau terletak kira-kira 74 kilometer dari bandar Sibu, 84 kilometer dari bandar Mukah dan 134 kilometer dari bandar Bintulu.

Mungkin ramai yang masih tidak mengetahui bahawa Selangau mempunyai keindahan semulajadi yang belum diterokai khususnya kewujudan Air Terjun Emplasi dan Air Terjung Sewung di Ulu Sungai Tamin.

Ikuti pengalaman 18 kakitangan dari pelbagai agensi kerajaan yang menyertai ‘Program Sarawak Product Experience’ (SPE)  anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak selama tiga hari dua malam di Rumah Emerlly, Batu 36, Tamin yang terletak di tepi jalan lama Sibu – Selangau.

Rumah panjang tradisional berusia 30 tahun ini mempunyai 25 pintu serta menyediakan perkhidmatan inap desa kepada pengunjung yang datang menginapnya.

Sepanjang program tersebut, peserta telah disajikan dengan permandangan yang indah dan suasana bunyi air terjun yang mendamaikan di Air Terjun Emplasi dan Air Terjung Sewung di Ulu Sungai Tamin.

Perjalanan selama 20 minit dari Pekan Selangau melalui Lebuh Raya Pan Borneo seterusnya 30 minit melalui jalan di ladang kelapa sawit serta ‘trekking’ ke Air Terjun Emplasi adalah sangat berbaloi apabila dapat melihat sendiri keindahan air terjun tersebut.

Difahamkan, penduduk setempat juga meluangkan masa bersama keluarga pada hujung minggu berkunjung dan berkelah di situ.

Untuk sampai ke lokasi Air Terjun Sewung yang terletak di kawasan terpencil di mana perjalanan mengambil masa lebih daripada satu jam perlu menggunakan kederaan pacuan empat roda melalui jalan sawit dan berjalan kaki selama 20 minit menuruni bukit untuk sampai ke air terjun tersebut. 

Namun, keindahan alam semulajadi yang masih terpelihara di sepanjang perjalanan menelusuri bukit ke air terjun tersebut sememangnya membuatkan rasa penat lelah berbaloi untuk ke sana. 

Menurut pemilik tanah di kawasan Air Terjun Sewong, Thomas Tutong yang juga merupakan Guru Besar di sebuah sekolah di Sibu, beliau berniat untuk membangunkan tempat tersebut sebagai tempat pelancongan pada masa akan datang dengan menyediakan pelbagai aktiviti seperti ‘jungle trekking’, ‘hiking’ dan menyediakan tempat berkelah.

Selain keindahan alam, pekan Selangau yang kaya dengan hasil bumi turut menjadi tarikan utama kepada pengunjung luar kerana menawarkan produk-produk berasaskan tanaman dan makanan tradisional yang jarang dijumpai di bandar-bandar besar. 

Bagi pengunjung yang beragama Islam, bukanlah satu masalah besar untuk mereka mencari makanan halal kerana terdapat kedai Melayu yang menyajikan pelbagai masakan yang menyelerakan.

Selain itu, pengunjung dapat merasai sendiri cara membuat kuih jala dan kuih ros melalui demo masakan yang dibuat oleh penduduk rumah panjang di samping menikmati sajian pansuh dan air kelapa yang menyegarkan.

Selain pansuh, pengunjung Rumah Panjang Emerlly turut menyediakan masakan tradisional lain seperti pansuh ikan, sambal terung asam bakar, pelbagai sayur-sayuran tempatan dan sambal mempelam yang sudah semestinya menaikkan selera makan pengunjung.

Apabila sudah berada di rumah panjang, kami dipertontonkan lagi dengan persembahan kebudayaan kaum Iban yang unik.

Malah mengujakan apabila peserta program SPE kali ini dapat merasai sendiri pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila dijemput menyertai dalam tarian persembahan kebudayaan kaum Iban.

Perasaan teruja dan gembira kerana layanan baik oleh semua penduduk rumah panjang menjadi pengalaman yang sangat berharga kepada semua peserta.

Sudah tentu kami akan kongsikan kepada masyarakat di luar sana agar mereka merasai sendiri ekspedisi ke Selangau pada masa hadapan. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *