SELASA, 26 SEPTEMBER 2023

KUCHING: Masjid Darul Ittihaad dan Masjid Darul Barakah Taman Satria Jaya BDC akan dibangunkan semula untuk keselesaan serta bagi menampung para jemaah di kawasan tersebut. 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kawasan luas di bahagian sebelah Masjid Simpang Tiga tersebut telah diambil alih oleh kerajaan Sarawak untuk tujuan berkenaan.

Menurut beliau, dengan siapnya masjid itu nanti, Khutbah Jumaat di Masjid Simpang Tiga akan disampaikan dalam Bahasa Inggeris. 

“Ini adalah bagi memudahkan umat Islam yang tidak fasih berbahasa Melayu untuk memahami Khutbah Jumaat yang disampaikan, mungkin mereka lebih fasih berbahasa Inggeris,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Marhaban Peringkat Negeri di sini pada malam Isnin.

Dalam majlis sama, kumpulan marhaban daripada Limbang iaitu Marhaban Melayu Limbang dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Marhaban Peringkat Negeri sekaligus membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 beserta trofi. 

Tempat kedua pula disandang oleh kumpulan daripada Kuching iaitu Suara Kilauan Majma, manakala tempat ketiga pertandingan terbabit dimenangi oleh Kumpulan Alhamra Bomba berasal dari Kuching. 

Para pemenang masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM7,000 dan RM5,000. -EDISI UKAS

add comment