AHAD, 1 OKTOBER 2023

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus berusaha meningkatkan kemajuan golongan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). 

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, kerajaan Negeri meneruskan usaha membantu golongan PMKS melalui pelbagai skim dengan hampir RM50 juta disalurkan kepada 150 usahawan sejak tahun 2021.

“Selain itu, Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) sebanyak RM10 juta telah disalurkan kepada 82 PKS bumiputera,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutupan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Wilayah Sarawak di sini pada Ahad. 

Katanya, kementerian beliau terus memperjuangkan usaha meningkatkan keupayaan golongan PMKS dan perniagaan lain agar dapat kekal berdaya saing dengan pihak lain.

“Teknologi berkembang dengan amat cepat dan kita harus memanfaatkannya untuk cuba menembusi pasaran luar negeri atau ke pasaran antarabangsa,” ujarnya.

Datuk Amar Awang Tengah juga berharap kerajaan Sarawak akan terus bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam usaha pemulihan ekonomi negara dan golongan PMKS selepas wabak COVID-19.

Untuk rekod, Showcase SDSI itu berlangsung selama tiga hari bermula 29 September hingga 1 Oktober bagi memberi pendedahan kepada masyarakat umum tentang produk dan perkhidmatan SDSI.

Seramai 13,000 pengunjung telah dicatat mengunjungi ‘showcase’ tersebut yang berjaya merekodkan jualan produk usahawan sebanyak RM21,000 melibatkan 10 usahawan SDSI.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dr Ripin Lamat, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato Sri Suriani Dato Ahmad, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Dzulkornain Masron dan Penasihat MINTRED Datuk Naroden Majais. -EDISI UKAS

add comment