SELASA, 3 OKTOBER 2023

KUCHING: Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP) telah menganjurkan Bengkel Kesedaran dan Bimbingan Halal Usahawan Madani 2023 pada 1 hingga 2 Oktober lepas.

Bengkel tersebut juga dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), SME Bank dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak di sebuah hotel di sini bersempena Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Wilayah Sarawak.

MINTRED dalam satu kenyataan media pada Selasa menjelaskan bahawa bengkel itu bertujuan memberi kesedaran kepada usahawan Sarawak mengenai kepentingan pensijilan halal dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

“Pensijilan halal merupakan satu jaminan kualiti kepada pengguna bahawa produk atau

perkhidmatan yang disediakan adalah bersih dan selamat digunakan serta memenuhi keperluan dari segi syariat Islam.

“Dalam aspek perniagaan pula, usahawan boleh meluaskan rangkaian pasaran produk dan perkhidmatan mereka bukan sahaja di Malaysia malah ke peringkat antarabangsa,” jelas kenyataan tersebut.

Seramai 73 peserta terdiri daripada golongan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dari seluruh Sarawak telah menyertai program tersebut. -EDISI UKAS

add comment