SABTU, 7 OKTOBER 2023

MIRI: Pameran Kerjaya Dan Latihan Sarawak (SCaT FAIR) 2023 dapat menyumbang kepada memenuhi keperluan pekerjaan seperti yang diminta di dalam industri semasa pada masa kini. 

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, masyarakat kini hidup di dalam dunia yang separuh daripada pekerjaan hari ini tidak wujud 25 tahun yang lalu.

Jelasnya, institusi pengajian tinggi dengan sendirinya, tidak dapat menyediakan pelajar sepenuhnya ke atas pekerjaan yang belum ada. 

“Untuk merapatkan jurang kemahiran, institusi pengajian tinggi perlu bekerja lebih rapat dengan industri untuk menggalakkan kemahiran kerja yang sejajar, menggabungkan data pasaran buruh dengan input industri untuk menentukan kemahiran yang mungkin diperlukan untuk pekerjaan hari esok.

“Oleh itu, saya berharap agar interaksi di pameran ScaT 2023 ini akan membuahkan hasil yang positif untuk majikan dan pelajar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapannya yang dibaca oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis semasa merasmikan ScaT Fair 2023 di Miri pada Sabtu. 

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dan Inisiatif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) atas usaha gigih menjayakan karnival ini.

Difahamkan objektif utama karnival ini adalah untuk memberi maklumat berhubung peluang pendidikan serta peluang pekerjaan dan kerjaya kepada masyarakat umum di Sarawak sekaligus memberi peluang bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dan belia. 

Selain daripada itu, karnival ini juga bertujuan memperkasakan keupayaan golongan belia dalam membuat keputusan yang lebih tepat untuk masa depan mereka serta memupuk minat pelajar dalam Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuteraan dan Matematik (STEM).

Lebih 30 syarikat menawarkan peluang perkerjaan serta mengadakan temuduga terbuka dan 30 Insitusi pendidikan tempatan dan luar serta 10 agensi bantuan kewangan turut menyertai pameran pendidikan bagi Karnival SCaT kali ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Pelagus merangkap Ahli Lembaga Amanah TEGAS Wilson Nyabong Ijang, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Azmi Bujang dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS Manzoor Hayat Khan. -EDISI UKAS

add comment