SABTU, 28 OKTOBER 2023

BINTULU: Penyebaran berita palsu serta berbaur provokasi dan hasutan sepanjang tujuh hari berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak menunjukkan trend menurun.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, ini kerana penyebaran maklumat salah, berita palsu boleh menjejaskan jentera berkempen.

Sehubungan itu jelasnya, gerak kerja kempen dalam PRK DUN Jepak kali ini adalah menggunakan strategi yang sangat berbeza iaitu menggunakan pendekatan mikro.

“Kita mahu calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Iskandar Turkee untuk mendekati masyarakat dengan lebih dekat dan peribadi. 

“Calon ini adalah calon baharu akan tetapi beliau amat dikenali ramai di kawasan Jepak, jadi pendekatan kita adalah supaya beliau memperkenalkan dirinya, harapannya dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Program Sembang Warung, di Sri Kandi Cafe di sini pada Jumaat. 

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan sesetengah rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak masih keliru dengan beberapa polisi dan agenda kerajaan. 

Jelasnya, mereka mahu kepastian hala tuju pucuk pimpinan negeri.

“Mereka ingin tahu apa itu digital ekonomi, teknologi hijau, hidrogen dan sebagainya.

“Jadi sepanjang tujuh hari ini banyak pertemuan kecil untuk menjawab semua syak wasangka atau persoalan ini,” ujarnya. 

Sehubungan itu, Datuk Abdullah Saidol menyatakan golongan muda kurang berminat dengan politik kerana politik sentiasa dikaitkan dengan kontroversi dan integriti.

Jelasnya lagi, beliau tidak menyalahkan mereka kerana mempunyai persepsi itu kerana benar sesetengah ahli politik ada yang tidak jujur ​​dan ikhlas.

“Namun, sekiranya mereka benar-benar mementingkan hala tuju dan kebajikan negara serta visi dan misi, saya galakkan mereka belajar serba sedikit tentang politik.

“Kerana jika orang baik tidak masuk politik, maka orang jahat akan masuk politik, rakyat akan dipimpin oleh pimpinan yang korup! 

“Dan sudah tentu masyarakat akan rugi. Dalam keadaan sekarang, apa yang penting kerajaan berfungsi, kepimpinan politik juga berfungsi, ekonomi negara dipulihkan dan kebajikan masyarakat diutamakan,” tambahnya lagi. 

Hadir sama dalam program Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat, Iskandar serta tetamu lain.-EDISI UKAS

add comment