SELASA, 21 NOVEMBER 2023

KUCHING: Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Michael Mujah Lihan telah dipilih sebagai Senator Dewan Negara yang baharu bagi mewakili suara Sarawak di Dewan Negara.

Pemilihan tersebut dilakukan selepas pencalonannya sebagai Senator mendapat persetujuan majoriti daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Selasa.

Sebelum itu, pencalonan Michael Mujah telah dicadangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika pengusulan pemilihan Ahli Dewan Negara dan disokong Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau sebelum ini pernah menjawat jawatan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB) Belaga selama dua penggal daripada 2009 sehingga 2016 sebelum konstituensi Belaga dipecahkan.

Kini, beliau merupakan Ketua Cawangan PBB N.66 Murum dan Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak sejak tahun 2016 sehingga sekarang.

Selain itu, beliau pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi PBB Sarawak (MKT) dari tahun 2010 hingga 2022 di samping aktif dalam pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Orang Ulu Malaysia (FORUM) dan Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Orang Ulu Sarawak.

Bercakap ketika ditemui media selepas itu, Michael Mujah merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak di atas pemilihan tersebut dan akan berusaha sebaik mungkin melaksanakan tanggungjawabnya sebagai senator yang baharu kelak.

“Saya mengucapkan terima kasih terutamanya Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan pihak kerajaan (Gabungan Parti Sarawak).

“Saya akan bekerja keras sebagai Ahli Dewan Negara yang baharu kelak,” kata beliau.

Pemilihan Ahli Dewan Negara yang baharu dijalankan setelah Ahli Dewan Negara yang terkini iaitu Senator Dato Dr Nuing Jeluing bakal menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 10 Disember kelak. -EDISI UKAS

add comment