23 NOVEMBER 2023

SRI AMAN: Pesta Menuai Padi Luar Musim Tahun 2023 bagi Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) anjuran Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar mencatat jumlah tuaian sebanyak 5.5 tan metrik per hektar.

Program SMART SBB merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan olej Kerajaan bagi terus meningkatkan hasil pengeluaran padi serta menjamin bekalan padi dan beras yang berterusan.

Berdasarkan Tinjauan Pemotongan Tanaman (CCS) bagi Tuaian Luar Musim 2023 yang dilaksanakan pada 20 November 2023 IADA Batang Lupar telah mencatatkan rekod purata hasil padi sebanyak 5.5 tan metrik per hektar bagi varieti RM269 di bawah seliaan Syarikat Peneraju iaitu ADVANSIA (Sarawak) Sdn Bhd.

Untuk rekod, sejumlah RM230 juta telah diperuntukkan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat (KPKM) untuk membangunkan infrastruktur pertanian yang lengkap dan sistematik secara berfasa untuk 5,100 hektar di Batang Lupar yang meliputi hampir keseluruhan kawasan penanaman padi di Stumbin, Tanjung Bijat, Gran, Entulang, Seduku , Lingga dan Banting.

Bagi pakej pembangunan projek Pakej Stumbin Bijat Fasa 1 seluas 1,500 hektar di Kawasan Tanjung Bijat, Stumbin, Gran dan Entulang telah siap dibangunkan sepenuhnya infrastruktur asas pengairan dan saliran pertanian untuk penanaman padi.

Pembangunan tersebut merangkumi kerja-kerja pembangunan sistem tebatan banjir, jaringan jalan pertanian, sistem saliran , ibu bekalan, sistem pengairan utama hingga ke peringkat Sistem Pengairan Sekunder serta lain-lain struktur berkaitan.

Hadir sama, Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) Datu Indit Bangai, Pengarah IADA Batang Lupar Irene Lah, pemangku Pegawai Daerah Lingga Frank Lani serta tetamu-tetamu jemputan yang lain. -EDISI UKAS

add comment