SABTU, 25 NOVEMBER 2023

KUCHING: Sarawak Career & Training (SCaT) Fair berjaya menarik seramai 20,000 orang pengunjung setiap tahun. 

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, SCaT Fair kini bukan hanya platform untuk belia yang sedang mencari kerja malah ia merangkumi seluruh lapisan masyarakat dengan pelbagai kerjaya dan pendidikan serta berteraskan ekonomi digital.  

Katanya, SCaT Fair kini berkembang berubah mengikut keperluan semasa yang pada mulanya hanya menyediakan pameran kerjaya dan Pendidikan.

“SCaT Fair telah berkembang dengan penambahan program-program sampingan untuk bidang Technical Education and Vocational Training (TEVT) dan STEM yang menyokong visi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam memperkasa Sarawak melalui ekonomi digital dan inovasi. 

“Antara aktiviti lain yang berjaya ialah Sarawak Fashion Awards, Youth Got Skills, Mini Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik (STEM) Playground dan Borneo Maker Festival iaitu pameran bagi memupukkan budaya makers kepada pengunjung,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian SCaT Fair yang disempurnakan oleh Premier Sarawak di Wisma Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) di sini pada Sabtu. 

Datuk Len dalam pada itu mengucapkan syabas dan tahniah kepada Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) kerana telah bersama-sama menjayakan program SCaT Fair pada tahun ini.  

Sehubungan itu, beliau berharap agar kerjasama ini akan berterusan di masa akan datang dan bukan sahaja terhad kepada Program Tahunan SCaT Fair ini.

Turut hadir Menteri MEITD Dato Sri Roland Sagah Wee Inn dan Timbalan Menteri Datuk Dr. Annuar Rapa’ee, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan Dan UKAS) merangkap Setiausaha TEGAS Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah  Zaidel dan Setiausaha Tetap MEITD Datu Azmi Bujang.-EDISI UKAS

add comment