AHAD, 17 DISEMBER 2023

SIMUNJAN: Kumpulan Petugas Pelancongan Bahagian Samarahan atau ‘Divisional Tourism Task Force Group’ (DTTG) Samarahan telah mengadakan Program Simunjan Explore 2023 buat julung kalinya pada Sabtu.

Antara pengisian program tersebut adalah aktiviti mendaki Gunung Ngeli atau dikenali penduduk tempatan sebagai ‘Peninjo’, menerokai khazanah lapan terowong arang batu dan pertandingan gasing tradisional.

Menurut pihak DTTG, program tersebut bertujuan untuk mengenalpasti dan menyenarai produk pelancongan untuk bahagian

Samarahan di samping memperkenalkan serta merasai pengalaman permainan gasing tradisional.

Selain itu, ia dapat mempromosikan Gunung Ngeli sebagai salah satu lokasi aktiviti ‘hiking & outdoor’ seterusnya menggalakkan aktiviti pelancongan di bahagian ini.

Dalam pada itu, aktiviti pendakian Gunung Ngeli telah disertai seramai 56 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli DTTG, Lembaga Pelancongan Sarawak, Majlis Daerah Simunjan, Pejabat Daerah Simunjan, Pejabat Daerah Gedong, Pejabat Daerah Sebuyau, Pejabat Daerah Samarahan, Pejabat Daerah Asajaya, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Samarahan, Jabatan Hutan Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Simunjan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah dan Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Simunjan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris mengucapkan terima kasih kepada DTTG Samarahan kerana telah memilih daerah Simunjan sebagai lokasi pertama untuk program tersebut. 

“Dengan adanya program sebegini, ia dapat mengetengahkan permainan tradisional ini dan menghidupkan kembali permainan gasing di Sarawak agar tidak ditelan zaman.

“Di samping itu, program mendaki Gunung Ngeli dan explorasi ke terowong arang batu dapat menarik pelancong agar faham serta mengetahui sejarah perlombongan arang batu telah wujud di Simunjan sejak zaman pemerintahan British lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Program Simunjan Explore 2023 di Gelanggang Gasing Kampung Sungai Apin.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Samarahan merangkap Pengerusi DTTG Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pegawai Daerah Simunjan Seroji Ludin, Pegawai Daerah Gedong Tamida Da’adi, Setiausaha Majlis Daerah Simunjan Mohd. Rizal Zakaria, Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Simunjan Nazari Harun dan barisan  Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) DUN Simunjan. -EDISI UKAS

add comment