SELASA, 2 JANUARI 2024

KUCHING: TASKA Tempat Kerja (TTK) di bawah inisiatif kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri merupakan satu sistem sokongan buat ibu bapa yang bekerjaya. 

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) Dato Sri Fatimah Abdullah, TASKA di tempat kerja ini merupakan sebuat tempat yang selamat dan kondusif untuk para ibu bapa menghantar anak mereka ketika bekerja. 

“Saya katakan ianya tempat yang kondusif dan selamat kerana sebelum kita meluluskan operasiannya, kita perlu mematuhi beberapa perkara yang ditetapkan. 

“Jabatan Kebajikan Masyarakat pastikan pematuhan aspek keselamatan daripada agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kesihatan untuk keselamatan makanan, nisbah guru atau pengasuh kepada kanak-kanak serta kelayakan guru sekurang-kurangnya Kursus Asuhan Permata,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa sidang media Lawatan ke TTK SeDidik Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak di sini pada Selasa. 

Dato Sri Fatimah menambah, kerajaan persekutuan telah memberi bantuan berbentuk subsidi, manakala kerajaan negeri pula memberi bantuan bayaran secara sekali gus sebanyak RM1000.

“Bantuan yang dapat diberikan ialah sebanyak RM1000 untuk setahun. 

“Maknanya, ibu bapa hanya perlu top up bayaran yang selebihnya,” tambahnya. 

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu memohon agar Pihak Berkuasa Tempatan untuk meletakkan syarat pembinaan sesebuah bangunan perlu menyediakan TASKA dan kemudahan mesra kanak-kanak. 

Difahamkan, sebanyak 20 TTK telah beroperasi di seluruh Sarawak termasuk tujuh buah TTK yang baru bermula pada tahun 2024. 

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Rosey Yunus, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Adana Jed dan Pengurus Besar Sedidik Ayub Dahari. -EDISI UKAS

add comment