SELASA, 9 JANUARI 2024

KALIMANTAN BARAT: Kerja-kerja pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin, dan Keselamatan (ICQS) Serikin yang berjumlah RM50 juta dijangka dimulakan pada tahun 2025.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak, Dato Henry Harry Jinep berkata, ini kerana penelitian perlu dilakukan bagi memastikan bangunan terbabit setaraf dengan Pos Lintas Batas Negara (PLBN) di  Kalimantan Barat, Indonesia. 

“Lawatan hari ini banyak inspirasi positif terhadap idea pembinaan ICQS Serikin. Di PLBN Jagoi Babang belum menggunakan passport kerana menunggu ICQS Serikin siap.

“Yang saya lihat di sini mereka mempunyai sistem yang canggih termasuk alat pengimbas kenderaan, pengimbas operasi mereka dilihat menyeluruh dan komprehensif.

“Jadi ini akan menjadi penanda aras untuk kita merancang tentang fasiliti, prasarana ICQS yang lebih kondusif supaya sama taraf dengan ICQS Babang,” katanya semasa mengadakan lawatan ke PLBN Jagoi Babang, di sempadan Malaysia-Indonesia, pada Isnin. 

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru berkata, proses penilaian reka bentuk dan kajian pengoperasian bangunan dijangka mengambil masa sekitar setahun. 

“Saya percaya pelaksanaan proses pembinaan adalah cepat tetapi proses untuk prakontrak akan memakan masa kerana ia melibatkan banyak agensi dan lain-lain,” ujar beliau. 

Tambah beliau lagi, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga mengesahkan sudah melantik beberapa konsultan bagi proses prareka bentuk bangunan sebelum dibentangkan dan dinilai pada mesyuarat akan datang.-EDISI UKAS

add comment