RABU, 31 JANUARI 2024

KUCHING: Institut Koperasi Malaysia (IKMa) sentiasa proaktif dalam mempromosi dan membudayakan program pendidikan dan latihan serta khidmat bimbingan dalam usaha meningkatkan imej koperasi ke tahap yang lebih tinggi.

Lembaga Pengarah IKMa, Datuk Willie Mongin berkata, Program Memasyarakatkan Koperasi (MASKOP) MADANI 2024 inisiatif IKMa untuk meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan koperasi dalam membangunkan ekonomi komuniti dan negara.

“Pogram ini dapat mempromosikan kelebihan dan keistimewaan koperasi kepada masyarakat serta menghebahkan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan oleh Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). 

“Saya berharap agar koperasi diseluruh Malaysia khasnya di Sarawak dapat meningkatkan usaha kerana kebanyakan koperasi yang telah mendaftar memang banyak tetapi yang aktif itu tidak begitu ramai. 

“Jadi kita (IKMa) harus nemainkan peranan untuk mengaktifkan aktiviti dan juga perniagaan koperasi ini supaya ia boleh membantu msyarakat dan negara kita,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Program MASKOP MADANI IKMa Zon Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Rabu. 

Datuk Willie yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo menambah, beliau melihat ramai ahli koperasi di negara ini mempunyai potensi yang tinggi tetapi jumlah yang berjaya dan aktif amat rendah. 

“Saya menggesa agar semua ahli-ahli koperasi untuk terus meningkatkan taraf pengetahuan supaya terdedah kepada teknologi baru, kepimpinan strategik baru dan cara membuat perniagaan yang lebih strategik. 

“Dengan itu, kita boleh bersaing. Bukan sahaja bersaing dengan pesaiang didalam industri yang sama, malah kita mampu untuk bersaing dari dalam negeri mahupun luar negara,” ujarnya. 

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan) IKMa Mohd Zaib Yunus dan Pengurus Perbankan Perniagaan Sarawak Bank Rakyat Meor Muhammad Khalis Zulkifli.-EDISI UKAS 

add comment