Pendidikan Awal Kanak-Kanak Penting Bentuk Minat

UKAS  > Edisi-Selatan >  Pendidikan Awal Kanak-Kanak Penting Bentuk Minat
0 Comments

SABTU, 10 FEBRUARI 2024

KOTA SAMARAHAN: Pendidikan awal kanak-kanak merupakan perkara yang sangat mustahak bagi membentuk minat.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, ia juga penting bagi kecenderungan anak-anak dalam bidang tertentu seperti sains, teknologi, kejuruteraan, perubatan dan seumpamanya.

Menurut beliau, sebagai ibu bapa mereka perlu memilih pendidikan awal kanak-kanak yang terbaik bagi memastikan perkembangan minda dapat dibentuk dengan sebaik mungkin agar hala tuju bukan sekadar cita-cita semata-mata.

“Setakat ini KEMAS telah merekodkan seramai 208,000 anak- anak belajar di 10,741 buah TABIKA KEMAS, manakala 9,722 anak-anak belajar 547 buah TASKA KEMAS di seluruh negara.

“Jumlah ini jelas menunjukkan bahawa KEMAS merupakan tonggak utama dalam menggerakkan pendidikan awal kanak-kanak di negara ini.

“Walaupun telah mendominasi pengiktirafan dan anugerah cemerlang di peringkat antarabangsa, KEMAS tidak pernah berasa selesa dan berhenti, malah telah mengambil inisiatif untuk menambah nilai kurikulum sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Hari Apresiasi Tabika KEMAS DUN Muara Tuang 2023/2024 di Auditorium Institut Kemajuan Desa (INFRA) Cawangan Sarawak, Kota Samarahan pada Jumaat.

Datuk Rubiah menambah, antara usaha yang diketengahkan adalah dengan memperkenalkan pendidikan Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STREAM) di TABIKA KEMAS yang sejajar dengan hala tuju pendidikan negara memupuk minat dalam bidang sains dan teknologi.

Dalam masa sama, beliau memberitahu warga KEMAS Samarahan yang telah menunjukkan prestasi dan pencapaian membanggakan dalam beberapa platform termasuklah Kejayaan TABIKA Sri Tajo, Asajaya mewakili KEMAS Negeri Sarawak bagi pertandingan ‘Pintar Botani’ dan TASKA PERMATA dari KEMAS Samarahan memenangi Johan ‘Pentas Idola’ Peringkat Negeri Sarawak 2023.

Antara lain katanya, TABIKA KEMAS Kampung Sebandi Ulu dan TASKA PERMATA KEMAS Kampung Asajaya Ulu juga turut tercalon sebagai Penanda Aras TABIKA/TASKA bagi Tahun 2022 dan TABIKA IPD Kota Samarahan dipilih sebagai antara TABIKA Rintis Program Pra Tahfiz KEMAS Sarawak.

Sementara itu, beliau mengucapkan tahniah kepada 97 orang Pendidik Masyarakat TABIKA KEMAS di Samarahan yang telah bertungkus-lumus menerapkan budaya kecemerlangan kepada 1,599 anak- anak di Samarahan.

Datuk Rubiah berharap agar KEMAS Samarahan memperoleh lebih banyak kejayaan dan kecemerlangan supaya dapat diketengahkan sebagai contoh di peringkat kementerian.

Hadir sama, Pengarah KEMAS Negeri Sarawak, Anisah Saidin, Wakil Residen Bahagian Samarahan, Wilson Malian, Wakil Pegawai Daerah Samarahan, Randy Claudia Nyala, Pengarah RISDA Negeri Sarawak, Sharuddin Saberi dan Timbalan Pengarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS Negeri Sarawak, Roselind Wilson Laing. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *