KHAMIS, 22 FEBRUARI 2024

KUCHING: Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Omar A’li Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada Khamis.

Keberangkatan tiba Baginda bersama Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah dengan pesawat khas tepat pada jam 10:53 pagi disambut oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Difahamkan, baginda berdua dijadualkan berangkat tiba di Masjid Demak pada sebelah petang bagi menghadiri Majlis Istiadat Pengkebumian Mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Sultan Hassanal Bolkiah diiringi oleh Dato Seri Setia Awang Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof, Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Abdul Aziz Juned, Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Seri Paduka Awang Abdul Wahab Awang Mohd Said dan dif-dif kenamaan lain.

Turut hadir menyambut ketibaan Baginda ialah Pesuruhjaya Tinggi Brunei Darussalam ke Malaysia, Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Mahmud Saidin dan Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri Duta Fenny Nuli. -EDISI UKAS

add comment