RABU, 28 FEBRUARI 2024

KUCHING: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Satria Bintang Sarawak (S.B.S) yang membawa gelaran Pehin Sri. 

Dalam majlis tersebut, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mewakili kerajaan Sarawak telah menyampaikan pingat tersebut kepada Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dalam Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di Astana Negeri Sarawak pada Rabu. 

Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi merupakan penerima kelima darjah tersebut, selepas Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Tun Pehin Sri Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham Tun Pehin Sri Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

Untuk rekod, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dilantik sebagai TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak kelapan berkuat kuasa pada 26 Januari lepas menggantikan Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang telah tamat perkhidmatannya pada 25 Januari 2024. 

Sebaik menerima watikah beliau, beliau turut dianugerahkan anugerah tertinggi negara, Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SSM) yang membawa gelaran Tun.

Kerjaya cemerlang Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi telah menyaksikan beliau memegang beberapa peranan penting, termasuk Yang di-Pertua Dewan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Speaker Parlimen.

Antara jasa beliau yang utama adalah memainkan peranan penting dalam mengintegrasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ke dalam rundingan berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dan Sabah.

Selain itu, beliau turut menerajui transformatif kepada Perlembagaan Persekutuan kepada mempelopori Undang-Undang Anti-Lompat Parti kepimpinannya ditandakan dengan usaha berterusan untuk mencapai kemajuan dan pembaharuan di samping memperkemas proses pendaftaran pengundi untuk golongan berumur 18 tahun (tidak termasuk Institusi Diraja). 

Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, barisan Menteri dan Timbalan Menteri, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta dif-dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS

add comment