SABTU, 9 MAC 2024

SPAOH: Kawasan Tanjung Sebekut di sini akan menjadi satu lagi jelapang padi di negeri ini.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah memberikan persetujuannya untuk pembangunan penanaman padi di kawasan tersebut.

“Petani (di Tanjung Sebekut) akan menanam padi hibrid yang akan memperoleh dua kali tuaian setahun,” katanya demikian dalam merasmikan Hari Wanita Bukit Saban di sini pada Sabtu.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu memberi jaminan dengan kerjasama Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu akan berikan yang terbaik untuk menjadikan Bukit Saban sebagai satu lagi kawasan pengeluaran makanan terkemuka di negeri ini.

“Rancangan kami adalah untuk menyediakan bahan penanaman, stok haiwan ternakan dan teknologi terkini.

“Kita akan gunakan peruntukan RM200 juta daripada Agensi Pembangunan Bahagian Betong untuk membantu membangunkan program pertanian yang sesuai dan turut menjana pendapatan lain,” jelasnya.

Tambahnya, Agropark Bebuling yang giat diusahakan turut digunakan untuk melatih dan melahirkan petani moden di Bukit Saban di samping menjadi pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan hasil tanaman yang berhampiran di lapangan pelepasan dan pendaratan singkat (STOLport) Bebuling yang kini dibina dan dijangka siap tahun depan.

Datuk Amar Douglas menambah, STOLport dan Lebuhraya Pan Borneo akan memastikan produk dan hasil keluaran mereka akan sampai ke pasaran dengan pantas.

Turut hadir, Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu. -EDISI UKAS

add comment