SELASA, 12 MAC 2024

KUCHING: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Wan Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada Selasa.

Naib Canselor UNIMAS, Prof Dr Ahmad Hata Rasit berkata, kunjungan hormat itu adalah untuk memaklumkan tentang perkembangan terkini berkenaan dengan hal-ehwal semasa UNIMAS.

Menurutnya, sesi kunjungan hormat tersebut adalah untuk meminta perkenan dari TYT Sarawak untuk menjadi Canselor UNIMAS.

“Kita mohon perkenan TYT Sarawak untuk dimajukan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi seterusnya diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya semasa ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi di Dewan Mengadap Utama, Astana Negeri Sarawak.

Sementara itu, Prof Dr Ahmad Hata memberitahu, UNIMAS juga akan menganjurkan Syarahan Canselor.

“Selain itu kita akan mengadakan Majlis Konvokesyen pada 4 hingga 8 November depan,” jelasnya.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ir. Ts. Dr. Al- Khalid Othman.-EDISI UKAS

add comment