Kemajuan Projek Jejambat Medan Dipantau Rapi, Kontraktor Diarah Percepat Kerja
BINTULU: Projek pembinaan Jejambat Medan terus mendapat perhatian apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming bersama Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Dr Cassidy Morris, turun padang bagi meninjau perkembangan terkini projek tersebut pada Khamis.
Lawatan tapak tersebut turut melibatkan pertemuan dengan pihak kontraktor untuk mendapatkan laporan kemajuan serta menyuarakan kebimbangan orang awam mengenai kelewatan projek, laluan alternatif yang sempit dan penyelenggaraan jalan yang kurang memuaskan.
Menurut Johnny Pang, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk setempat yang berdepan masalah jalan tidak rata dan berlubang yang menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
“Saya telah menggesa pihak kontraktor supaya memastikan laluan alternatif sentiasa berada dalam keadaan baik sepanjang tempoh pembinaan, bagi mengelakkan risiko keselamatan kepada pengguna,” tegasnya.
Beliau turut menekankan bahawa Persimpangan Medan merupakan laluan penting dalam sistem rangkaian jalan raya di Bintulu, justeru kontraktor perlu mempercepatkan kerja pembinaan dengan menambah tenaga kerja dan meningkatkan kecekapan operasi.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan agar jalan dua lorong yang asal dikekalkan meskipun berlaku pengalihan laluan, bagi mengelakkan kesesakan terutama pada waktu puncak.
“Saya juga telah meminta agar pihak kontraktor memastikan kelancaran trafik di kawasan hadapan SMK Bintulu serta melaksanakan langkah-langkah keselamatan tambahan demi melindungi pelajar dan pengguna jalan raya,” katanya.
Johnny Pang turut memberi jaminan bahawa pihaknya bersama JKR Sarawak akan terus memantau projek ini secara rapi agar ia berjalan mengikut jadual dan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan. -EDISI UKAS