Modal Insan Berilmu, Berintegriti Penentu Masa Depan Sarawak
KUCHING: Modal insan yang berilmu, berkemahiran dan berintegriti merupakan faktor utama yang akan menentukan kejayaan agenda pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, kejayaan pelbagai inisiatif pembangunan yang sedang dilaksanakan di negeri ini akhirnya bergantung kepada kualiti generasi muda yang bakal menerajui pelbagai sektor strategik.
Menurut beliau, Sarawak kini berada di landasan kukuh untuk terus berkembang menerusi pelbagai agenda pembangunan melibatkan ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, teknologi serta industri bernilai tinggi.
“Sebesar mana pun perancangan yang dirangka, kejayaan Sarawak akhirnya bergantung kepada kualiti modal insan yang akan menggerakkannya.
“Kita memerlukan lebih ramai anak muda yang berilmu, berkemahiran, berintegriti dan mempunyai keberanian untuk memimpin perubahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang SPM Tahun 2025 dan Penyampaian Sumbangan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) kepada pelajar cemerlang MRSM Kuching di Dewan Kenyalang, MRSM Kuching, pada Rabu.
Datuk Rubiah berkata, pendidikan berkualiti perlu terus diperkasakan kerana ia menjadi asas kepada pembentukan individu yang mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Katanya, pendidikan bukan sekadar melahirkan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan, sebaliknya membentuk insan yang seimbang dari aspek ilmu pengetahuan, kepimpinan, keusahawanan, teknologi dan sahsiah diri.
Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan golongan muda supaya tidak melupakan tanggungjawab untuk kembali menyumbang kepada pembangunan negeri selepas mencapai kejayaan.
Menurutnya, Sarawak memerlukan lebih ramai doktor yang berkhidmat dengan penuh ihsan, jurutera yang membina dengan amanah, saintis yang mencipta penyelesaian baharu, usahawan yang membuka peluang pekerjaan serta pemimpin yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.
Turut hadir Pengetua MRSM Kuching Abdul Rahim Ishak, wakil pengurusan MARA Sarawak, guru-guru, ibu bapa serta pelajar MRSM Kuching.- EDISI UKAS