KCFC Kekal Di Tangga Kedua, Kongsi Satu Mata Dengan KL City FC
KUALA LUMPUR: Kuching City FC (KCFC) terlepas peluang untuk melebarkan jurang mata di tangga kedua dalam kancah Liga Super 2025/2026 apabila terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata menentang Kuala Lumpur (KL) City FC yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada Rabu.
Perlawanan yang berakhir 1-1 menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi 25 mata namun KCFC masih kekal di belakang pendahulu liga, Johor Darul Takzim (JDT) FC menerusi perbezaan jaringan dengan KL City FC.
Pada perlawanan tersebut, KCFC terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi Ronald Ngah Wanja pada minit ke-30 selepas menanduk masuk sepakan sudut Ramadan Saifullah.
Kegembiraan pelawat tidak lama apabila giliran KL City berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Sapawi Rasid pada masa kecederaan separuh masa pertama menerusi rembatan kencang membolosi Haziq Nadzli selepas mendada hantaran silang Nicolao Dumitru.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan terus mempamerkan aksi sengit dengan percaturan yang dibuat oleh kedua-dua jurulatih.
Namun, pelbagai percubaan berjaya dipatahkan oleh kubu pertahanan termasuk penjaga gawang kedua-dua pasukan.
Pada minit ke-83, detik cemas kepada kem Aidil Sharin Sahak apabila Sapawi Rasid dijatuhkan oleh Scott Woods dalam petak penalti KCFC.
Bagaimanapun, pengadil tidak menghadiahkan sepakan penalti selepas Semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) walaupun pemain KL City FC mendakwa terdapat tarikan baju terhadap Sapawi Rashid.
KCFC juga berpeluang membawa pulang tiga mata apabila Petrus Shitembi berjaya merembat kencang bola pada waktu kecederaan namun diselamatkan penjaga gol KL City FC. -EDISI UKAS