Operasi Feri Kanowit–Sedaya Bermula, Tingkatkan Akses Penduduk Jalan Nibong Tada
KANOWIT: Penduduk di sekitar Jalan Nibong Tada kini menikmati kemudahan pengangkutan lebih selesa apabila perkhidmatan feri Kanowit–Sedaya mula beroperasi secara rasmi, sekali gus meningkatkan akses kepada masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana berkata, perkhidmatan feri tersebut merupakan usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan infrastruktur pengangkutan luar bandar dan memudahkan urusan harian penduduk.
"Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana telah menyelesaikan isu perkhidmatan feri ini kerana isu ini sebenarnya sering saya bangkitkan semasa Persidangan DUN Sarawak.
"Dengan adanya perkhidmatan feri ini ia akan memberi banyak manfaat kepada aktiviti harian penduduk khasnya bagi penduduk di kawasan Jalan Nibong Tada," katanya.
Beliau berkata demikian berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Membaikpulih Rumah Panjang di Rh. Paul Unjong, Nanga Ngungun, di sini, pada Selasa.
Perkhidmatan feri tersebut beroperasi bermula 24 Disember 2025 hingga 3 Januari 2026 dari jam 4.00 pagi hingga 12.00 tengah malam, manakala selepas tarikh tersebut operasi diteruskan dari jam 4.00 pagi hingga 10.00 malam.
Justeru, beliau menyeru orang ramai yang menggunakan perkhidmatan feri ini agar mematuhi arahan pihak pengurusan feri dan agensi kerajaan yang berkaitan demi keselamatan pengguna.
Dalam pada itu, Anyi turut menyentuh mengenai Klinik Kesihatan Nanga Ngungun yang ketika ini kerja-kerja menaiktaraf klinik sedang dilakukan.
Apabila ia siap kelak, beliau berharap ia akan memberi lebih banyak keselesaan khasnya dari segi perkhidmatan, kemudahan dan pakar perubatan kepada penduduk di Nanga Ngungun dan kawasan sekitarnya.
Pada majlis sama, Anyi merasmikan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Membaikpulih Rumah Panjang Paul Unjong yang dilaksanakan dengan kos RM120,000 melalui bajet RTP DUN Ngemah dan diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu selaku agensi pelaksana. -EDISI UKAS