1,140 Mangsa Banjir Di Sarawak Ditempatkan di 10 PPS
KUCHING: Seramai 1,140 mangsa banjir daripada 287 Ketua Isi Rumah (KIR) masih ditempatkan di 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang aktif di Sarawak setakat jam 8.00 pagi Jumaat.
Menurut laporan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak, PPS yang dibuka melibatkan empat daerah iaitu Kuching, Samarahan, Lawas dan Miri, dengan trend pemindahan mangsa dilaporkan meningkat.
Daerah Kuching mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan tujuh PPS aktif melibatkan 1,095 mangsa daripada 275 KIR.
Antara PPS yang beroperasi di daerah itu ialah Dewan Masyarakat Stapok, Dewan R. Piang Kampung Sinar Budi Baru, Surau Ar-Rahman Kampung Sungai Batu, Dewan Surau Nurul Najhin Stapok, Dewan Serbaguna Taman Malihah, SJK Sungai Tengah serta SJK Chung Hua Batu Kawa.
Di Samarahan, sebuah PPS di Dewan Suarah Kota Samarahan menempatkan 25 mangsa daripada lapan KIR, manakala Lawas merekodkan pembukaan PPS baharu di Dewan Masyarakat Trusan yang menempatkan 16 mangsa daripada tiga KIR akibat banjir.
Sementara itu, kejadian tanah runtuh di Miri menyaksikan seramai empat mangsa daripada satu KIR ditempatkan di PPS Dewan Bulan Sabit Merah.
APM Sarawak memaklumkan kesemua PPS yang beroperasi ketika ini berada dalam status kekal, dengan pemantauan berterusan dijalankan bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa terjejas sentiasa terpelihara.
Orang ramai, khususnya penduduk di kawasan berisiko, dinasihatkan agar terus berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah ke PPS yang disediakan sekiranya diarahkan berbuat demikian. - EDISI UKAS