Pasukan Miri ke Pentas Nasional, Angkat Tarian Naga & Singa Sarawak
MIRI: Penyertaan pasukan tarian naga dan singa dari Miri ke pertandingan kebangsaan mencerminkan usaha berterusan Sarawak memartabatkan seni budaya tradisional agar kekal relevan dan berdaya saing.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penglibatan dalam pertandingan berprestij mampu meningkatkan standard persembahan ke tahap lebih tinggi.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis ‘eye dotting’ dan penyerahan bendera Sarawak kepada Persatuan Tarian Naga dan Singa Wai Sheng Miri di Some Shak Lung Kung Temple, pada Sabtu.
Menurutnya, pasukan tersebut akan menyertai pertandingan kebangsaan melibatkan 20 pasukan, dengan tujuh terbaik dipilih ke peringkat akhir bagi mewakili Malaysia ke pentas antarabangsa.
Tambah beliau, kategori persembahan di atas tiang tinggi (high pole) menjadi antara cabaran utama, selain penyertaan kali ini merupakan kali keempat bagi pasukan tersebut.
Pasukan dari Miri yang juga satu-satunya wakil Sarawak dijadual bertanding di Johor pada Mei ini, dengan harapan mampu mengharumkan nama negeri di peringkat lebih tinggi.-EDISI UKAS