Rakyat Gedong Bakal Miliki Rumah Mampu Milik, SPK Pacu Pembangunan Bandar Satelit
GEDONG: Rakyat di Gedong bakal menikmati peluang memiliki kediaman sendiri pada harga mampu milik menerusi pelaksanaan projek pembinaan 50 unit rumah di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) Gedong yang dilengkapi panel solar, sekali gus menyokong pembangunan kawasan itu sebagai bandar satelit baharu kepada Kuching.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, projek perumahan berkenaan dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dengan peruntukan berjumlah RM22.6 juta.
Beliau menjelaskan konsep panel solar menerusi sistem Net Energy Metering (NEM) membolehkan tenaga elektrik dijana sendiri oleh pemilik rumah dan dikreditkan ke bil elektrik.
“Setiap unit rumah jenis LCDA Saphire 1 dibina menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) moden dengan keluasan lantai kira-kira 871.87 kaki persegi.
“Projek perumahan SPK Gedong dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan suku ketiga tahun 2026 dan akan menjadi pemangkin utama kepada pembangunan sosioekonomi setempat,” kata beliau dalam sidang media selepas lawatan ke SPK Gedong di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong menambah, kawasan berkenaan kini berada pada landasan pembangunan strategik susulan rangkaian jalan baharu dan sistem pengangkutan yang menghubungkan kawasan pesisir dengan Kuching, Samarahan dan Serian.
Jelas beliau, pembinaan jalan dua lorong serta perancangan laluan Rapid Autonomous Transit (ART) akan menghubungkan Gedong dari Munggu Kopi dan Serian terus ke Samarahan sebelum disambungkan ke kawasan pesisir seperti Tanjung Embang sekali gus memendekkan masa perjalanan dan meningkatkan kebolehcapaian.
“Dengan adanya jaringan jalan yang baik, rakyat tidak lagi perlu tinggal di Kuching untuk bekerja. Gedong akan berkembang sebagai bandar satelit yang lengkap dengan perumahan dan kemudahan asas,” tambah beliau.
Beliau turut memaklumkan model pembangunan seperti ini akan diperluaskan ke beberapa kawasan lain termasuk Kabong, Simunjan, Kampung Sambir, Sadong Jaya, Beladin, Pusa, Daro, Sebuyau, Lawas, Trusan dan Sibu selari dengan peningkatan permintaan rakyat terhadap perumahan luar bandar.
Turut hadir dalam lawatan tersebut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian, Penasihat (SME), Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Dato Sri Mohd Naroden Majais, Pengurus Besar LCDA, Datu Sr. Zaidi Mahdi, Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Dato Ir. Yusuf Abdul Wahab serta tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS