Sarawak Catat Rekod 4.97 Juta Pelawat, Hasil Pelancongan Cecah RM12.6 Bilion Bagi Tahun 2025
KUCHING: Sarawak hampir mencapai sasaran lima juta ketibaan pelawat bagi tahun 2025 apabila merekodkan seramai 4.97 juta pelawat, iaitu pencapaian tertinggi pernah dicatatkan setakat ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata jumlah ketibaan pelawat sehingga 31 Disember 2025 adalah 4,971,197 orang, kurang kira-kira 28,800 pelawat daripada sasaran asal lima juta.
“Kita mungkin tidak dapat mencapai sasaran lima juta yang telah ditetapkan tetapi apabila melibatkan pendapatan pelancongan untuk tahun lepas, itu juga merupakan pencapaian tertinggi yang pernah kita capai.
“Tahun lepas sahaja, dari Januari hingga Disember, pendapatan pelancongan adalah sebanyak RM12,672,154,246 bilion, yang merupakan jumlah yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Persatuan Badminton Sarawak SBA – YONEX Sunrise di Hotel Waterfront, Kuching pada Khamis.
Menurut Dato Sri Abdul Karim, pencapaian tersebut memberi limpahan manfaat kepada industri hospitaliti termasuk hotel, restoran, rumah tumpangan serta inap desa yang terus menikmati peningkatan kehadiran pelancong, sekali gus merancakkan ekonomi tempatan.
Beliau berkata, industri pelancongan Sarawak dilihat berada pada landasan kukuh apabila pertumbuhan hasil bukan sahaja memberi manfaat kepada penggiat industri, malah turut menyumbang kepada hasil kerajaan menerusi kutipan cukai.
Menyentuh sasaran tahun hadapan, Dato Sri Abdul Karim menjangkakan Sarawak berpotensi mencapai atau melepasi sasaran lima juta pelawat pada 2026, susulan trend peningkatan berterusan jumlah ketibaan pelawat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, negara Brunei Darussalam kekal sebagai penyumbang terbesar ketibaan pelawat ke Sarawak, diikuti Indonesia, selari dengan hubungan perhubungan udara dan darat yang semakin baik antara Sarawak dan negara jiran tersebut.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang