Program Kampung Angkat MADANI Perkukuh Agenda Pembangunan Luar Bandar di Baleh
BALEH: Program Kampung Angkat MADANI terus diperkasakan menerusi lawatan tapak dan sesi pengesahan skop kerja yang berlangsung di Rumah Melintang, Sungai Sebiro, Gaat, Bukit Mabong, di sini pada Sabtu.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat P.216 Hulu Rajang itu telah dihadiri oleh Ahli Parlimen Hulu Rajang merangkap Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong.
Lawatan tersebut bertujuan meninjau secara langsung keperluan serta aspirasi penduduk setempat, di samping mengesahkan skop kerja yang bakal dilaksanakan di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI sekaligus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan setiap perancangan pembangunan dirangka berdasarkan situasi sebenar di lapangan.
Menurut beliau, program seumpama ini menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat, selain memastikan pelaksanaan inisiatif pembangunan dapat disampaikan secara menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi, khususnya di kawasan pedalaman seperti Baleh.
Program Kampung Angkat MADANI dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti luar bandar dengan memberi fokus kepada peningkatan kemudahan asas, kesejahteraan sosial serta kualiti hidup penduduk.
Usaha berterusan ini diharap dapat membawa lebih banyak manfaat kepada komuniti setempat serta memperkasakan kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.-EDISI UKAS