‘Sarawak Unite, Malaysia in Harmony’ Satukan Komuniti, Perkasa Belia
KUCHING: Program Sarawak Unite, Malaysia in Harmony menjadi platform strategik menghimpunkan belia, agensi kerajaan dan masyarakat pelbagai kaum dalam usaha memperkukuh perpaduan serta keharmonian sosial di Sarawak.
Program dua hari di Dewan Datu Merpati Jepang itu disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Ir. Irwan Zulkarnain Mohammad Hasbie, mewakili Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof pada Sabtu.
Dianjurkan oleh Kelab Belia Prihatin Bandar Kuching (KEPRI) dengan sokongan Kementerian Perpaduan Negara serta kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia, program berkenaan memfokuskan penglibatan aktif belia dalam memperkukuh perpaduan melalui aktiviti komuniti, budaya dan kenegaraan.
Keunikan Sarawak sebagai model keharmonian turut diketengahkan menerusi pendekatan yang menggabungkan elemen pelancongan, gastronomi dan warisan komuniti, termasuk kehidupan masyarakat di Kampung Nombor, Kuching.
Sepanjang penganjuran, pelbagai pengisian dilaksanakan seperti sesi townhall, Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI serta enam bengkel belia yang menumpukan kepada pelancongan komuniti, literasi budaya dan pemeliharaan warisan.
Program ini turut menampilkan Harmony Village sebagai ruang interaktif yang menghimpunkan pameran budaya, makanan tradisional dan demonstrasi seni pelbagai etnik.
Selain itu, aktiviti sukarelawan seperti gotong-royong komuniti, penghasilan mural bertemakan perpaduan serta Unity Arts Showcase turut diadakan sebagai medium memperkasa mesej perpaduan melalui seni.
Penganjuran ini selari dengan aspirasi Dasar Perpaduan Negara serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, sekali gus memperkukuh peranan belia sebagai agen penyatuan masyarakat. -EDISI UKAS