Program Harapan Ramadan YADIM–CIMB Islamic Bantu 200 Asnaf dan Mualaf
KUCHING:,Seramai 200 penerima terdiri daripada golongan asnaf dan mualaf di bawah DUN Samariang menerima sumbangan menerusi Program Harapan Ramadan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Sarawak bersama CIMB Islamic Bank 2026 yang berlangsung di Masjid Ilhwanul Islam, Taman Sukma, pada Selasa.
Program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Sarawak dengan kerjasama CIMB Islamic Bank itu merupakan inisiatif kebajikan bagi membantu meringankan beban golongan memerlukan dalam membuat persediaan menyambut Ramadan.
Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) merangkap ADUN Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yang turut menyampaikan sumbangan kepada para penerima serta beramah mesra bersama masyarakat setempat.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak YADIM dan CIMB Islamic Bank kerana memilih kawasan Samariang sebagai lokasi pelaksanaan program kebajikan berkenaan. Menurut beliau, kerjasama strategik antara agensi dan institusi kewangan seperti ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa kesejahteraan rakyat.
Beliau menegaskan bahawa program seumpama ini bukan sahaja membantu dari segi keperluan material, malah menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan menjelang Ramadan.
“Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan dan peluang untuk kita memperbaiki diri, meningkatkan amalan serta mengeratkan silaturahim. Inisiatif seperti ini amat bermakna bagi mereka yang memerlukan,” katanya.
Sementara itu, wakil CIMB Islamic Bank dan YADIM dalam ucapan masing-masing menyatakan komitmen untuk terus memperluas pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat khususnya yang memberi manfaat kepada masyarakat Islam kurang berkemampuan di negeri ini.
Bagi tahun 2026, Program Harapan Ramadan diperluaskan pelaksanaannya ke enam lokasi Parlimen terpilih di Sarawak bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara lebih menyeluruh kepada golongan sasar.
Bantuan yang disalurkan diharap dapat membantu para penerima membuat persediaan awal menyambut Ramadan dengan lebih tenang dan bermakna.-EDISI UKAS