Kerjasama Erat Lancarkan Pelaksanaan Inisiatif Kebajikan
DARO: Kerjasama erat antara agensi kerajaan, pemimpin masyarakat serta sukarelawan sangat penting dalam memastikan setiap inisiatif kebajikan dapat dilaksanakan dengan lancar dan menyeluruh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad, berkata usaha berkenaan bukan sahaja dapat meringankan beban golongan asnaf menjelang Aidilfitri.
Katanya, ia juga menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat di Daro.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Sumbangan Aidilfitri dan Pengagihan Bubur Lambuk bagi golongan asnaf di Tanah Besar Daro di Pejabat Daerah Daro, pada Isnin.
Mesyuarat anjuran Pejabat Daerah Daro itu diadakan bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan program kebajikan sempena Aidilfitri tahun ini dapat diselaras secara teratur, telus dan berkesan demi manfaat golongan yang memerlukan.
Antara perkara dibincangkan termasuk penyelarasan kaedah agihan sumbangan Aidilfitri, mekanisme pengedaran bubur lambuk serta kaedah penyampaian bantuan supaya sampai kepada kumpulan sasar dengan lebih sistematik.
Mesyuarat itu turut dihadiri Pegawai Daerah Daro, Zul Usup serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum setempat.- EDISI UKAS