Keharmonian Kaum Asas Penting Pembinaan Negara Bangsa
LIMBANG: Keharmonian antara kaum terus menjadi asas penting dalam membina sebuah negara bangsa yang stabil dan maju terutamanya dalam konteks masyarakat majmuk di mana semangat saling menghormati serta meraikan kepelbagaian budaya dan perayaan mencerminkan kematangan rakyat dalam memelihara perpaduan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, rakyat Malaysia setiap tahun menyambut pelbagai upacara dan perayaan setiap kaum secara bersama sebagai lambang perpaduan yang utuh.
“Kita setiap tahun menyambut pelbagai upacara setiap kaum dan sama-sama meraikan.
"Inilah perpaduan yang ada di dalam rakyat Malaysia di mana perpaduan merupakan asas penting dalam membina negara bangsa, dan antara petanda menunjukkan negara kita maju adalah disebabkan perpaduan yang kita kecapi hari ini,” katanya.
Beliau ditemui media ketika lawatan ramah mesra sempena sambutan Tahun Baharu Cina bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Tionghua Daerah Limbang pada Selasa.
Tambahnya, amalan kunjung-mengunjungi dan penyertaan bersama dalam setiap perayaan bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah menjadi petanda jelas bahawa kekuatan sesebuah negara terletak pada kesatuan rakyatnya.
Sempena Tahun Kuda ini, Datuk Hasbi berharap agar sambutan tersebut membawa kebaikan dan kekuatan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Harapan sempena Tahun Kuda ini, kita mengharapkan kebaikan dan kekuatan untuk rakyat kita. Kita perlu saling menjaga keharmonian agar perpaduan yang ada terus kekal dan diperkukuhkan,” ujarnya lagi.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang dan Pengerusi Majlis Daerah Limbang, Sufian Mohat. -EDISI UKAS