Kepimpinan Premier Pacu Pembangunan Luar Bandar, Anak Selangau digesa Ceburi Bidang Teknikal
TATAU: Komitmen berterusan Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak dalam memperkasa pembangunan luar bandar terus diterjemahkan melalui pelaksanaan projek infrastruktur strategik.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, peningkatan hasil pendapatan negeri daripada sekitar RM6 bilion kepada RM13 bilion tahun lalu membolehkan lebih banyak projek pembangunan serta inisiatif kebajikan dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi semua lapisan masyarakat.
“Pembangunan yang kita nikmati hari ini adalah hasil perancangan rapi dan kepimpinan yang jelas hala tujunya. Kerajaan Sarawak komited memastikan rakyat di luar bandar tidak ketinggalan,” katanya ketika merasmikan Jambatan Rh Abon Banjar yang merupakan projek RTP 2025 di bawah inisiatif eBina Baharu Jambatan pada Sabtu.
Menurut beliau, beberapa projek utama turut diluluskan di bawah Mid Rajang Regional Development Agency (MiRRDA), termasuk menaik taraf Jalan Kelebu ke Rh Ado, Lubuk Kubong bernilai RM184 juta serta projek menaik taraf Jalan Muput bernilai RM75 juta.
Selain itu, projek Jalan dari Rh Balis ke Nanga Takan diluluskan di bawah Regional Corridor Development Authority (RECODA), manakala Jalan Penyarai akan dinaik taraf menerusi Bintulu Rural Development Committee (BIRDCOM) dengan kos RM200 juta.
Beliau menegaskan kerjasama semua pihak termasuk pemilik tanah amat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar tanpa sebarang kelewatan, sekali gus mempercepat limpahan manfaat kepada rakyat di kawasan pedalaman.
Dalam majlis sama, Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta dalam ucaptamanya menggesa lebih ramai anak muda Selangau menceburi bidang teknikal dan kemahiran yang kini menjadi tunjang pembangunan negeri.
Menurut beliau, sejak tahun 2023, lebih 500 pelajar dari Parlimen P214 Selangau yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi telah menerima bantuan insentif pendidikan secara “one-off” melibatkan RM800 bagi diploma dan RM1,200 bagi ijazah, dengan lebih RM200,000 diperuntukkan pada tahun 2025 sahaja.
“Kita memerlukan lebih ramai anak Selangau menjadi tenaga mahir dan profesional teknikal. Bidang TVET, kejuruteraan serta kemahiran industri kini menjadi tulang belakang pembangunan,” tegas beliau.
Beliau turut menekankan bahawa laluan pendidikan kemahiran bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya platform penting dalam membina kerjaya stabil dan berdaya saing, justeru ibu bapa disaran memberi galakan kepada anak-anak mempertimbangkan bidang tersebut sebagai pilihan utama.
Terdahulu, Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong menekankan kepentingan peranan Tuai Rumah dalam memastikan data profil kampung sentiasa dikemas kini serta melantik Setiausaha JKKK yang berkelayakan dan celik IT bagi memperkukuh tadbir urus rumah panjang.
Pada majlis yang sama, Edwin Banta turut menyampaikan cek MRP kepada PIBG SK Kuala Muput serta menyerahkan Insentif Melanjutkan Pelajaran kepada seorang penerima sebagai simbol komitmen berterusan dalam memperkasa pendidikan dan pembangunan modal insan.
Majlis turut dihadiri wakil Jabatan Kerja Raya Bahagian Bintulu, Joseph Tyran serta Pemanca Daerah Tatau, Pemanca Gerosen Jubin.-EDISI UKAS