Sarawak Wartakan Tiga Hutan Simpan Kekal Baharu, Perkukuh Agenda Hijau Negeri
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh komitmennya terhadap pemeliharaan alam sekitar dan pengurusan hutan mampan apabila mewartakan tiga kawasan Hutan Simpan Kekal (PFE) baharu menjelang Mei 2026 sekali gus meningkatkan keluasan keseluruhan kawasan PFE di negeri ini kepada 4.149 juta hektar.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kawasan yang diwartakan ialah Data Julan Protected Forest seluas 25,501 hektar, Suro-Tutoh Protected Forest (17,117 hektar) dan Ulu Trusan Protected Forest yang melibatkan keluasan terbesar iaitu 111,717 hektar.
Menurut beliau, pewartaan tersebut menjadikan Sarawak kini mempunyai sebanyak 123 kawasan Hutan Simpan Kekal di seluruh negeri.
"Usaha pemeliharaan hutan turut diselarikan dengan program pembangunan komuniti dan ekonomi luar bandar menerusi pelbagai latihan kemahiran berasaskan sumber hutan.
“Antara latihan yang dilaksanakan termasuk pemasaran atas talian produk hasil hutan bukan kayu (NTFP), kraf buluh, pertukangan kayu, pembuatan perabot, inokulasi gaharu dan asas pendawaian elektrik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Datuk Amar Awang Tengah menambah, Jabatan Hutan Sarawak (JHS) bersama Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) turut menganjurkan Kursus Asas Penanaman dan Penyelenggaraan Buluh kepada komuniti di Long Tujang, Long Bemang dan Lapok, Miri pada April lalu.
Dalam usaha memperkukuh pemeliharaan biodiversiti, kerjasama antara Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan komuniti setempat terus diperkasa menerusi Program Sukarelawan ‘Turtle Ranger’ yang melibatkan 39 sukarelawan di Kampung Pugu, Lundu.
Sementara itu, beliau berkata Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) turut giat melaksanakan pelbagai program kesedaran alam sekitar termasuk kempen larangan pembakaran terbuka di Debak, Betong serta program pendidikan alam sekitar di Jepak, Dalat dan Daerah Kecil Oya.
Katanya, Program Mini Karnival Peduli Api yang diadakan di Lawas pada 25 April lalu dengan kerjasama JHS dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berjaya menarik penyertaan kira-kira 700 peserta terdiri daripada komuniti setempat dan agensi kerajaan.-EDISI UKAS