BlackBerry, UKM Teroka Kerjasama Strategik Teknologi Masa Depan Di Sarawak
KUCHING: BlackBerry Limited dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meneroka potensi kerjasama strategik teknologi masa depan bersama Sarawak melibatkan bidang komunikasi selamat, semikonduktor, tenaga hijau serta pengkomputeran kuantum bagi menyokong aspirasi negeri sebagai hab teknologi frontier menjelang 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif BlackBerry Ltd. US, John Giamatteo berkata, Sarawak dilihat mempunyai potensi besar dalam pembangunan teknologi masa depan menerusi kerjasama antara sektor kerajaan, swasta dan institusi pendidikan.
Menurut beliau, antara fokus utama yang dibincangkan termasuk teknologi komunikasi selamat melibatkan kedaulatan data, penyulitan keselamatan serta sistem notifikasi kecemasan khususnya bagi menghadapi bencana alam seperti banjir.
“BlackBerry memiliki teknologi komunikasi selamat yang komprehensif terutama berkaitan kedaulatan data bagi membantu kerajaan melindungi data rakyat dan negara.
“Di Sarawak, penyelesaian seperti notifikasi kecemasan amat penting terutama ketika berdepan banjir dan cabaran perubahan iklim,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sini pada Rabu.
Sementara itu, Naib Canselor UKM, Profesor Dato Dr Sufian Jusoh berkata, UKM bersama BlackBerry Limited serta rakan universiti antarabangsa termasuk Massachusetts Institute of Technology dan University of Cambridge sedang meneliti peluang untuk membangunkan teknologi tersebut bersama kerajaan Sarawak.
“Kerjasama ini selari dengan hasrat menjadikan Sarawak sebagai hab teknologi frontier dan negeri maju menjelang 2030,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel.-EDISI UKAS