KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) memberi keutamaan kepada pelbagai projek pembangunan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan RMK13.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek-projek pembangunan bandar baharu, pusat perkhidmatan dan rumah mampu milik dengan peruntukan sebanyak RM216 juta dalam RMK12.
Menurut beliau, dalam RMK13, sejumlah RM284 juta lagi telah diluluskan bagi meneruskan pelaksanaan projek-projek tersebut.
“LCDA turut melaksanakan pembangunan rumah mampu milik di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK), Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) dan Bandar Baharu Sebuyau.
“Dalam RMK13, sejumlah 1,253 unit rumah mampu milik telah diluluskan untuk dilaksanakan dengan peruntukan sejumlah RM405 juta,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II itu menambah, pelaksanaan enam Projek Pembaharuan Bandar secara berfasa sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak.
“Antaranya, Pembangunan Darul Hana di Kuching, Penempatan Sungai Bedaun (Kuching), Pembangunan Semula Kampung Datu (Sibu), Pembangunan Kemuyang (Sibu), Skim Pembesaran Kampung Jelutong (in-situ) di Bintulu dan Tatau Kampung Extension.
“Di samping itu, beberapa projek baharu yang sama telah diluluskan dalam RMK13 iaitu Pembangunan Semula Semariang Pinggir di Kuching, Pembangunan Semula Kampung Baru Kapit, Penempatan Semula Sungai Baji Sarikei, Pembangunan Semula Jepak Fasa I Bintulu, Pembangunan Padang Kerbau Miri dan Redevelopment of Trusan Bazaar di Lawas,” katanya.
Datuk Amar Awang Tengah juga berkata bahawa LCDA melaksanakan Penilaian Impak Sosial (SIA) bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi dan fizikal, malah turut menjaga kesejahteraan komuniti secara inklusif dan mampan. -EDISI UKAS