485 Kekosongan Jawatan Ditawarkan Pada Karnival Kerjaya MyFutureJobs x GETS-WRP 2026
KUCHING: Sebanyak 485 kekosongan jawatan daripada 15 majikan pelbagai sektor ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya MyFutureJobs x GETS-WRP 2026 yang berlangsung di Pustaka Negeri Sarawak pada Rabu dalam usaha memperkukuh kebolehpasaran graduan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak.
Program anjuran bersama SCOPE dan PERKESO itu turut menyediakan 1,000 peluang internship menerusi Program Peningkatan Graduan dan Persediaan Alam Pekerjaan (GETS-WRP) bagi membantu graduan memperoleh pengalaman industri sebelum memasuki alam pekerjaan sebenar.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE) Joseph Lim Jit Sek berkata, program GETS-WRP menawarkan latihan kemahiran insaniah selama tiga bulan diikuti latihan industri selama sembilan bulan dengan elaun RM1,500 sebulan yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak.
Menurutnya, peserta yang menunjukkan prestasi baik sepanjang tempoh latihan berpotensi diserap sebagai pekerja tetap oleh majikan terlibat sekali gus membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan di Sarawak.
Katanya, Kerajaan Sarawak mengambil pendekatan proaktif menerusi kerjasama strategik bersama industri dan PERKESO bagi memastikan graduan tempatan mempunyai akses lebih luas kepada peluang pekerjaan dan latihan industri.
“Tiada pekerjaan pertama yang sempurna. Yang penting ialah ambil langkah pertama dahulu kerana pengalaman kerja akan membuka lebih banyak peluang pada masa depan,” katanya ketika ditemui media sempena program tersebut.
Sementara itu, Ketua Wilayah Unit Perkhidmatan Pekerjaan Sarawak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Sarawak Dr Belinda Lim Kim Moi berkata, peluang pekerjaan yang ditawarkan melibatkan pelbagai sektor termasuk pembinaan, kewangan, pendidikan dan perkhidmatan dengan majoriti gaji antara RM2,000 hingga RM2,999 sebulan.
Menurutnya, program tersebut bukan hanya menyasarkan graduan baharu malah individu yang ingin bertukar kerjaya atau meneroka sektor pekerjaan baharu.
“Kita membawa masuk majikan-majikan terbaik untuk memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak,” katanya.
Tambahnya, sebahagian majikan yang hadir turut membawa panel penemuduga yang mempunyai kuasa membuat keputusan secara terus bagi mempercepat proses pengambilan pekerja.
Dalam pada itu Ketua Sumber Manusia Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Zurina Razali berkata, graduan masa kini memiliki kemahiran asas terutama komunikasi namun masih memerlukan pendedahan praktikal dan keyakinan diri sebelum memasuki pasaran kerja.
Katanya, antara kelemahan utama yang sering dikenal pasti dalam kalangan calon pekerjaan ialah kurang persediaan ketika menghadiri sesi temuduga.
“Calon perlu membuat kajian mengenai organisasi sebelum menghadiri temuduga selain berani menyerlahkan potensi dan pengalaman yang dimiliki,” katanya.
Pandangan tersebut turut dikongsi graduan Politeknik Kuching Sarawak Dzul Razzan Julaihi yang mengakui persaingan mendapatkan pekerjaan ketika ini semakin mencabar khususnya bagi lepasan diploma.
Menurutnya, kebanyakan syarikat kini memerlukan pekerja yang mempunyai kemahiran tambahan khususnya dalam bidang teknologi dan aplikasi.
“Persaingan sekarang agak sukar kerana ramai majikan mencari calon dengan kelulusan dan kemahiran lebih tinggi,” katanya.
Bagi graduan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak Zulaikha Zabedi pula, cabaran utama graduan masa kini ialah kekurangan pengalaman kerja walaupun memiliki kelulusan akademik yang tinggi.
Katanya, keadaan ekonomi semasa turut memberi kesan terhadap peluang pekerjaan termasuk penawaran gaji yang lebih rendah berbanding kelayakan dimiliki graduan.
“Ramai graduan mempunyai ijazah tetapi masih tiada pengalaman bekerja dan itu menjadi cabaran untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya.
Sementara itu graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Adrian Lee, menyifatkan program tersebut sebagai platform penting untuk memberi pendedahan awal kepada mahasiswa mengenai keperluan sebenar industri dan pasaran pekerjaan.
Menurutnya, pencari kerja perlu lebih terbuka meneroka pelbagai peluang pekerjaan dan tidak terlalu tertumpu kepada satu bidang sahaja.
“Yang penting, cari pekerjaan yang sesuai dengan minat dan mampu membantu masa depan dalam jangka panjang,” katanya.
Penganjuran karnival kerjaya tersebut dilihat menjadi antara usaha berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pemadanan pekerjaan antara industri dan graduan tempatan selain membantu melahirkan tenaga kerja yang lebih kompetitif serta memenuhi keperluan semasa pasaran pekerjaan negeri.-EDISI UKAS