Tenaga hijau dan ekonomi hidrogen dijangka jana RM300 bilion pelaburan
KUCHING: Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju serantau dalam peralihan tenaga menerusi pembangunan tenaga hijau dan ekonomi hidrogen yang dijangka memangkin pelaburan sehingga RM300 bilion serta mewujudkan kira-kira 180,000 peluang pekerjaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, usaha tersebut membuka peluang baharu kepada pertumbuhan industri mampan sekali gus meletakkan Sarawak sebagai destinasi pilihan pelaburan rendah karbon di rantau ini.
Menurut beliau, Bintulu kini diiktiraf sebagai Peralihan Kluster Perindustrian (TIC) oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), manakala Kuching pula sedang dibangunkan sebagai Hab Rendah Karbon yang akan memperkukuh landskap tenaga hijau Sarawak di peringkat global.
“Pengiktirafan ini meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi Sarawak sebagai hab strategik pembangunan industri mampan melibatkan industri hijau, tenaga bersih dan pembuatan berteknologi tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu menambah, pembangunan Hab Rendah Karbon Kuching dirancang sebagai ekosistem industri rendah karbon bersepadu yang merangkumi pembangunan sumber huluan, penyelesaian pengurusan karbon, penjanaan kuasa LNG, pemprosesan hiliran serta pembangunan taman industri.
Tambah beliau, pembangunan itu turut disokong infrastruktur strategik termasuk terminal gas dan pelabuhan laut dalam bagi meningkatkan daya saing Sarawak dalam landskap tenaga serantau dan global.
Dalam pada itu, PETROS telah menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat antarabangsa termasuk China Jiangsu International Economic and Technical Cooperation Group dan Sumitomo Corporation yang telah menghasilkan beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan potensi pelaburan sehingga RM30 bilion dalam tempoh sedekad.
Mengulas sektor huluan minyak dan gas, beliau berkata PETROS kini terlibat dalam 20 Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) melibatkan kawasan luar pesisir dan daratan dengan kerjasama rakan domestik serta antarabangsa.
Katanya, empat projek utama kini sedang bergerak ke arah Keputusan Pelaburan Akhir (FID) pada tahun ini termasuk aktiviti penggerudian, penerokaan dan pembangunan medan minyak dan gas.
“Pengeluaran gas pertama dijangka bermula dari medan luar pesisir PC4 dan Salbiah di Bintulu, manakala medan Adong Kechil West di Miri pula dijangka mencapai pengeluaran minyak pertama pada suku ketiga 2026,” jelasnya.
Beliau menambah, pelaburan melebihi RM10 bilion dalam projek-projek tersebut amat penting bagi menjamin keselamatan tenaga jangka panjang serta menyokong agenda perindustrian Sarawak.
Pada masa sama ujarnya, PETROS turut memperkukuh kajian sumber bawah permukaan melalui program Full Tensor Gravity serta kerjasama dengan Japan Organization for Metals and Energy Security yang mengenal pasti potensi hidrokarbon memberangsangkan di kawasan Mukah dan Balingian.-EDISI UKAS