CoPER Perkukuh Pemantauan Prestasi Kontraktor, Perunding di Sarawak
KUCHING: Pembangunan sistem Laporan Penilaian Prestasi Kontraktor/Perunding (CoPER) menjadi mekanisme dalam memastikan projek pembangunan di Sarawak dilaksanakan secara lebih cekap, telus dan berintegriti.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, CoPER akan memastikan prestasi kontraktor dan perunding dipantau secara menyeluruh sepanjang pelaksanaan projek.
Menurut beliau, sistem berkenaan bukan sekadar berfungsi sebagai alat penilaian, malah membolehkan prestasi kontraktor dan perunding direkod, dipantau serta dijejak secara lebih sistematik.
“Pelaksanaan CoPER memberi manfaat besar dalam mengenal pasti kontraktor dan perunding berprestasi tinggi selain membolehkan tindakan susulan diambil terhadap pihak yang gagal memenuhi standard prestasi ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata pendekatan proaktif turut dilaksanakan bagi memastikan semua kontraktor dan perunding berdaftar mematuhi syarat serta peraturan pendaftaran yang ditetapkan kerajaan negeri.
Katanya, sebanyak 140 pemeriksaan pematuhan telah dijalankan sepanjang tahun 2025 bagi menilai tahap pematuhan syarikat berdaftar.
Tambah beliau, langkah tersebut penting dalam mewujudkan persekitaran perolehan negeri yang adil dan kompetitif, selain memastikan hanya kontraktor serta perunding yang mematuhi syarat kekal berada dalam sistem pendaftaran kerajaan negeri.- EDISI UKAS