Miri Tuan Rumah Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak
MIRI: Bahagian Miri dipilih sebagai tuan rumah sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak bagi tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi yang berlangsung pada 16 dan 17 Jun ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata program selama dua hari ini dijangka akan dihadiri lebih 1,000 umat Islam.
Jelasnya, sambutan bertemakan ‘Ummah Maju Makmur’ ini dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Sarawak dan Pejabat Residen Bahagian Miri serta agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan.
“Pengisian utama sambutan ialah pada 16 Jun, Majlis Doa Akhir Tahun 1447 Hijri dan Awal Tahun 1448 Hijri pada jam 5.30 petang bertempat di Masjid At-Taqwa, Bahagian Miri.
"Manakala pada 17 Jun, Majlis Perhimpunan Maal Hijrah 1448 Hijri pada jam 9 pagi di Stadium Tertutup Miri,” katanya dalam sidang media pada Mesyuarat Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Pejabat Residen Bahagian Miri pada Selasa.
Majlis dijangka dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta Premier Sarawak Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Hadir sama Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Mual Suaud dan Residen Bahagian Miri, Galong Luang. - EDISI UKAS