Kerjasama Sekolah dan Sektor Swasta Perkasa Pembangunan Sukan Luar Bandar
LAWAS: Kerjasama antara institusi pendidikan dan sektor swasta terus memainkan peranan penting dalam memperkasa pembangunan sukan di kawasan luar bandar, sekali gus membantu melahirkan generasi muda yang aktif, berdaya saing dan berpotensi dalam bidang sukan.
Komitmen tersebut dizahirkan menerusi tajaan jersi kepada Pasukan Bola Sepak 15 Tahun Ke Bawah (15TKB) SMK Merapok oleh DSA Mekar Sdn. Bhd. sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Bola Sepak 15TKB Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Limbang.
Majlis penyerahan jersi telah diadakan di SMK Merapok dan disempurnakan oleh Kadir Bayan kepada para pemain pasukan yang bakal membawa cabaran sekolah dalam kejohanan tersebut.
Pasukan Bola Sepak 15TKB SMK Merapok dibarisi seramai 18 pemain dan dibimbing oleh tiga jurulatih yang bertanggungjawab memastikan aspek latihan, disiplin serta persiapan pasukan berada pada tahap terbaik menjelang pertandingan.
Inisiatif tajaan berkenaan bukan sahaja membantu melengkapkan keperluan pasukan, malah mencerminkan hubungan erat antara pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta sektor swasta dalam menyokong pembangunan bakat pelajar melalui aktiviti kokurikulum.
Sokongan yang diberikan turut dilihat sebagai satu pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan, khususnya dalam menyediakan platform kepada pelajar untuk mengembangkan potensi dan bakat mereka dalam arena sukan.
Pihak sekolah merakamkan penghargaan kepada DSA Mekar Sdn. Bhd. atas sumbangan yang diberikan dan berharap lebih banyak pihak tampil menghulurkan sokongan bagi memperkukuh pembangunan sukan di sekolah, khususnya di kawasan luar bandar.-EDISI UKAS