22 Pelajar MRSM Kuching Raih Anugerah Kecemerlangan SPM
KUCHING: Seramai 22 pelajar MRSM Kuching menerima Anugerah Kecemerlangan SPM 2025 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang mereka dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, kejayaan tersebut membuktikan komitmen tinggi para pelajar, guru serta ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan akademik terus menjadi budaya di institusi berkenaan.
Menurut beliau, pencapaian itu menjadi lebih membanggakan apabila MRSM Kuching turut berjaya mencatatkan Gred Purata Maktab (GPM) sebanyak 2.635 dalam peperiksaan SPM 2025.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga MRSM Kuching, para guru, ibu bapa serta anak-anak pelajar yang diraikan pada hari ini.
“Seramai 22 orang pelajar menerima anugerah kecemerlangan pada hari ini. Tahniah kepada semua penerima serta keluarga yang sentiasa menjadi sumber kekuatan sepanjang perjalanan pendidikan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang SPM Tahun 2025 dan Penyampaian Sumbangan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) kepada pelajar cemerlang MRSM Kuching di Dewan Kenyalang, MRSM Kuching, pada Rabu.
Datuk Rubiah berkata, kejayaan yang dicapai para pelajar merupakan hasil kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan pelajar yang sentiasa komited dalam memastikan kecemerlangan pendidikan dapat dicapai secara konsisten.
Menurut beliau, pencapaian tersebut juga membuktikan bahawa usaha, disiplin dan kesungguhan mampu menghasilkan kejayaan yang membanggakan serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda pada masa hadapan.
Katanya, keputusan cemerlang yang diperoleh dalam peperiksaan bukanlah destinasi terakhir, sebaliknya menjadi platform untuk melangkah ke tahap pendidikan dan kerjaya yang lebih tinggi.
Beliau turut menggesa para pelajar agar terus memasang cita-cita besar serta tidak berpuas hati dengan pencapaian yang diraih kerana dunia masa kini memerlukan individu yang sentiasa bersedia untuk belajar dan menyesuaikan diri dengan perubahan.
“Keputusan cemerlang yang saudara dan saudari peroleh dalam peperiksaan SPM bukanlah destinasi terakhir, tetapi hanyalah tiket untuk melangkah ke pentas yang lebih besar dan lebih mencabar.
“Teruskan menimba ilmu, membina karakter dan memperbaiki diri dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada para guru dan ibu bapa yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan para pelajar.
Katanya, di sebalik setiap kejayaan seorang anak, terdapat pengorbanan ibu bapa yang tidak pernah putus memberi sokongan serta guru yang sentiasa komited mendidik dan membimbing mereka ke arah kecemerlangan.
Turut hadir Pengetua MRSM Kuching Abdul Rahim Ishak, wakil pengurusan MARA Sarawak, guru-guru, ibu bapa serta pelajar MRSM Kuching.- EDISI UKAS