Ulul Albab Bentuk Generasi Cemerlang, Berintegriti Dan Berdaya Saing Global
KUCHING: Program Ulul Albab yang diterapkan dalam sistem pendidikan MARA berperanan melahirkan generasi cemerlang yang bukan sahaja berilmu, malah memiliki integriti, kebijaksanaan dan daya saing di peringkat global.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, falsafah Ulul Albab tidak tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada pembentukan insan yang mampu berfikir, menilai dan membuat keputusan secara bijaksana.
Menurut beliau, dalam era teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), cabaran terbesar generasi muda hari ini bukan lagi kekurangan maklumat tetapi keupayaan untuk memilih maklumat yang tepat serta menggunakannya demi manfaat masyarakat.
“Dunia hari ini tidak kekurangan orang yang bijak, tetapi dunia sentiasa memerlukan lebih ramai orang yang bijak dan berintegriti.
“Dalam dunia yang dipenuhi manusia pintar, yang akan memimpin masa depan bukan semestinya yang paling bijak, tetapi mereka yang menggunakan kebijaksanaan itu dengan amanah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang SPM Tahun 2025 dan Penyampaian Sumbangan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) kepada pelajar cemerlang MRSM Kuching di Dewan Kenyalang, MRSM Kuching, pada Rabu.
Katanya, konsep Ulul Albab yang digariskan dalam pendidikan MARA bertujuan melahirkan individu yang mampu membezakan antara fakta dan fitnah, ilmu dan propaganda serta kebenaran dan kepalsuan.
Menurut beliau, golongan Ulul Albab bukan sekadar memiliki pengetahuan yang luas, tetapi menggunakan ilmu yang dimiliki secara amanah dan bertanggungjawab demi kebaikan masyarakat.
Beliau turut menegaskan bahawa Program Ulul Albab tidak menjejaskan sifat inklusif MRSM sebagai institusi pendidikan yang terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang layak tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang.
Pada masa sama, beliau menekankan bahawa usaha melahirkan generasi yang menguasai sains, teknologi, penyelidikan dan inovasi perlu diseimbangkan dengan pembentukan adab, jati diri dan nilai murni.
Katanya, pendidikan yang holistik amat penting bagi memastikan generasi muda mampu bersaing di peringkat antarabangsa tanpa mengabaikan identiti serta nilai yang menjadi asas pembentukan karakter mereka.
Turut hadir Pengetua MRSM Kuching Abdul Rahim Ishak, wakil pengurusan MARA Sarawak, guru-guru, ibu bapa serta pelajar MRSM Kuching.- EDISI UKAS