80 Peserta DUN Tasik Biru Terima Bantuan Input Pertanian di Bau
BAU: Seramai 80 peserta dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru menerima bantuan input pertanian di bawah Program Fasilitasi Pertanian (AFF) dalam satu majlis yang berlangsung di perkarangan Pejabat Pertanian Daerah Bau, hari ini.
Bantuan berbentuk one-off itu telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep.
Daripada jumlah tersebut, 41 peserta merupakan penerima Program Tanam Baru Kopi yang melibatkan penduduk dari beberapa kampung sekitar Bau iaitu Kampung Musi, Kampung Krawong, Kampung Stass, Kampung Segong, Kampung Barieng, Kampung Senibong, Kampung Daun, Kampung Atas dan Kampung Srieng.
Setiap peserta program kopi menerima 400 anak benih kopi, tiga beg baja NPK 15:15:15, dua beg baja NPK 12:12:17:2 TE serta dua beg CIRP bagi menyokong peningkatan produktiviti tanaman.
Sementara itu, 39 peserta lagi menerima bantuan di bawah Program Diversifikasi Pertanian (ADP) tanaman jagung yang melibatkan penduduk dari Kampung Skiat Baru, Kampung Skiat Lama, Kampung Suba Buan, Kampung Atas, Kampung Bogag dan Kampung Serikin.
Bagi program jagung tersebut, setiap peserta diperuntukkan enam beg baja NPK 15:15:15, tujuh beg baja NPK 12:12:17:2 TE serta lapan beg dolomit bagi meningkatkan kualiti dan hasil pengeluaran tanaman.
Dalam ucapannya, Datuk Henry berkata Kerajaan Sarawak kekal komited memperkukuh sektor pertanian sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi luar bandar serta sumber pendapatan masyarakat setempat.
Beliau berkata program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa sektor pertanian dan meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti luar bandar di Tasik Biru.
Katanya lagi, bantuan yang disalurkan diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta bagi meningkatkan hasil pertanian sekali gus menyokong agenda keterjaminan makanan di Sarawak.-EDISI UKAS