Belia Diseru Rebut Peluang Di Pesta Pendidikan Dan Ekspo Kerjaya Kerajaan Sarawak 2026
KUCHING: Golongan pelajar, graduan dan belia di Sarawak diseru agar memanfaatkan peluang yang ditawarkan melalui Pesta Pendidikan dan Ekspo Kerjaya Kerajaan Sarawak 2026 yang bakal menjadi platform penting dalam memperkukuh hala tuju pendidikan dan kerjaya generasi muda negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir. Lo Khere Chiang, berkata program tersebut merupakan satu inisiatif penting bagi membantu golongan muda membuat keputusan lebih tepat berkaitan pendidikan tinggi, latihan kemahiran dan peluang kerjaya masa hadapan.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Pesta Pendidikan dan Ekspo Kerjaya Kerajaan Sarawak 2026 yang diadakan di Ibu Pejabat Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) hari ini.
Program yang dianjurkan oleh Ketua Pemuda SUPP Batu Kitang, Cr. Alvin Chong itu akan berlangsung pada 20 Jun 2026 di Ibu Pejabat SUPP, Kuching, dan menghimpunkan 29 institusi pendidikan, pusat latihan kemahiran serta agensi kerajaan.
Menurut beliau, antara institusi dan agensi yang terlibat termasuk Sarawak Skills, i-CATS University College, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Swinburne University of Technology Sarawak, UCSI University Kuching, Technology College Sarawak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Curtin University Malaysia, SEGi University & Colleges, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak, Kolej Komuniti Mas Gading, CENTEXS, AWISAR, PTPTN dan Yayasan Sarawak.
Tambahnya, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat terus daripada wakil institusi berkaitan program pengajian, syarat kemasukan, biasiswa, bantuan kewangan serta peluang kerjaya yang ditawarkan.
Selain itu, Ekspo Kerjaya Kerajaan Sarawak turut melibatkan pelbagai agensi seperti Balai Bomba dan Penyelamat Padungan, Akademi Kastam Diraja Malaysia (Sarawak), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Sarawak Forestry Corporation (SFC), Regional Corridor Development Authority (RECODA) serta Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak.
Beliau berkata penyertaan agensi-agensi ini memberi pendedahan jelas kepada belia mengenai fungsi serta peluang kerjaya dalam sektor awam, di samping membuka ruang interaksi secara langsung dengan pihak terlibat.
Sementara itu, Cr. Alvin Chong berkata penganjuran program ini adalah sebahagian usaha Pemuda SUPP Batu Kitang dalam memperluaskan akses maklumat pendidikan dan kerjaya kepada golongan muda serta menggalakkan penyertaan masyarakat umum.-EDISI UKAS