Program Sains Warga Perkukuh Kesedaran Alam Sekitar
MIRI: Kerajaan Sarawak terus komited memastikan pembangunan ekonomi negeri dilaksanakan secara seimbang dengan pemeliharaan alam sekitar demi menjamin kesejahteraan rakyat serta kelestarian sumber semula jadi untuk generasi akan datang.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, agenda kelestarian alam sekitar merupakan antara tonggak utama dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan Sarawak Sustainability Blueprint 2030.
Menurut beliau, kerajaan tidak mahu mewariskan pembangunan pesat yang mengorbankan alam sekitar, sebaliknya memastikan kemajuan yang dinikmati rakyat disokong oleh sungai yang bersih, hutan yang sihat serta biodiversiti yang kaya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sains Warga (Citizen Science) dan Kesedaran Alam Sekitar Bersama Komuniti bagi Projek Ecological Fiscal Transfer (EFT) di sini, pada Isnin.
Dalam ucapannya, beliau menjelaskan Projek EFT Sungai Miri merupakan antara inisiatif penting yang dilaksanakan dengan sokongan Kerajaan Persekutuan melalui mekanisme Ecological Fiscal Transfer bagi memperkukuh usaha konservasi biodiversiti, pemuliharaan sungai serta penglibatan komuniti.
Tambah beliau, Sarawak mempunyai kelebihan kerana kebanyakan sungainya berada sepenuhnya dalam bidang kuasa negeri, sekali gus membolehkan perancangan dan pengurusan dilakukan secara menyeluruh tanpa melibatkan sempadan antarabangsa.
Menyentuh cabaran semasa, beliau berkata Sungai Miri masih berdepan isu pencemaran akibat sisa pepejal dan tekanan pembangunan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa usaha memulihara sungai tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan perubahan sikap masyarakat daripada budaya membuang kepada budaya memelihara.
Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan Sains Warga yang membolehkan masyarakat terlibat secara langsung dalam pengumpulan data, pemantauan alam sekitar serta pemuliharaan sumber semula jadi.
Turut hadir, Pengawal Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Datu Jack Liam serta wakil agensi dan institusi pendidikan.-EDISI UKAS